*RANCANGAN MALAYSIA KE-13 (RMK13): KESELAMATAN RAKYAT TERJAMIN, KEBAJIKAN ANGGOTA TERPELIHARA*
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang bukan sahaja menyeluruh dari segi dasar dan strategi, malah amat menyentuh keperluan sebenar rakyat dan negara dalam mendepani cabaran masa hadapan.
RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” merupakan manifestasi iltizam Kerajaan MADANI untuk membawa Malaysia ke satu fasa pembangunan yang lebih seimbang dan berprinsip. Ia mencerminkan tekad sebuah kerajaan yang bukan sekadar merancang pertumbuhan ekonomi secara konvensional, tetapi turut menekankan nilai kemanusiaan, keadilan sosial, tadbir urus berintegriti serta keberhasilan yang inklusif dan saksama.
Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, pelan ini menekankan pembangunan yang bukan hanya bersifat fizikal dan material, tetapi berpaksikan kesejahteraan insan, kemuliaan akhlak, dan kekuatan moral bangsa. RMK13 mengangkat semula matlamat bernegara yang berpandukan hikmah, ihsan dan tanggungjawab bersama – demi memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus kemajuan.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya amat menghargai keutamaan yang telah diberikan terhadap pemerkasaan sektor keselamatan dan pertahanan dalam RMK13. Dengan peruntukan sebanyak RM51 bilion kepada sektor keselamatan, ini merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Dalam dunia yang kian mencabar – dengan ancaman rentas sempadan, penyeludupan, jenayah siber, pemerdagangan manusia, dan risiko ekstremisme – keperluan untuk memperkukuh keupayaan operasi, logistik dan teknologi agensi-agensi keselamatan kita amatlah penting. Maka, inisiatif untuk memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan memperkasa penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) adalah tepat pada waktunya.
Pendekatan ini akan membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan lebih efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa, serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim – khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan.
Lebih penting, saya ingin menzahirkan penghargaan atas penekanan serius Kerajaan terhadap kebajikan warga kerja keselamatan, khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain yang berkhidmat di barisan hadapan. Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu PDRM dan 3,088 unit kuarters ATMyang telah siap, ditambah 8,501 unit lagi yang sedang dibina, serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang telah dibaik pulih, merupakan langkah yang sangat bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing.
Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi, sekiranya keperluan asas mereka – tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif, serta jaminan sosial – diabaikan. Maka, usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan adalah amat dialu-alukan dan wajar diberi pujian.
Saya percaya bahawa dalam dunia hari ini, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui senjata dan bilangan anggota keselamatan semata-mata, tetapi melalui keupayaan kita menyediakan ekosistem sokongan yang menyeluruh – dari latihan, logistik, teknologi hingga ke aspek kebajikan.
Kementerian Dalam Negeri akan terus mendukung sepenuhnya pelaksanaan RMK13 dan mengambil tanggungjawab untuk memastikan inisiatif-inisiatif di bawah sektor keselamatan dalam negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kami komited untuk terus memperkukuh keselamatan dalam negeri, memelihara kedaulatan undang-undang, dan menjamin keamanan hidup rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Semoga usaha murni yang digariskan dalam RMK13 ini akan membuahkan hasil yang berkekalan – bukan sekadar dalam bentuk angka pertumbuhan atau statistik pelaburan – tetapi lebih utama, dalam bentuk ketenteraman, keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia. Dengan izin Allah SWT, kita doakan agar pelaksanaan RMK13 diberkati, dipermudah dan disempurnakan dengan kejayaan.
#MalaysiaMadani
#MadaniBekerja
#RancakkanMadani
#ReformMadaniKDN
#KementerianDalamNegeri
Facebook: https://www.facebook.com/share/p/19QSzPGtiU/?mibextid=wwXIfr
Instagram: https://www.instagram.com/p/DMwz8XQpBi3/?igsh=Mng2dGZpNGp1bndr
X: https://x.com/saifnasution/status/1950811110543884572?s=46
Telegram: https://t.me/saifuddinnasutionismail/1201
Comments
Post a Comment