Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

Ampang, 27 Jun 2025 – Dalam suasana yang penuh ketenangan dan semangat permulaan baharu sempena sambutan 1 Muharram 1447 Hijrah, Majlis Gema Selawat dan Martabatkan Al-Quran telah berlangsung dengan jayanya di Ampang. Acara yang menghimpunkan elemen kerohanian dan kekuatan ummah ini turut menjadi medan bersejarah kepada pelancaran awal Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide (KEAW), sebuah gerakan ekonomi Islam yang digerakkan oleh NGO, koperasi, konsortium serta pemimpin pelbagai industri secara kolektif.

Majlis tersebut telah dirasmikan secara bersama oleh YAM Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning ke-20, Haji Mohd Salleh bin Haji Mohd Som, selaku wakil Lembaga Adat Undang Naning dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Naning, bersama Datuk Haji Zainal Abidin bin Haji Sakom, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, dan Al-Fadhil Ustaz Zawawi, Ketua Koordinator Gema Selawat serta Pengasas NH Mall Worldwide. Pelancaran ini turut disaksikan oleh tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang yang berperanan sebagai penyokong kuat misi memperkasa ekonomi Islam ke arah serantau dan antarabangsa.

Majlis Gema Selawat ini merupakan kesinambungan kepada program yang pernah dianjurkan serentak di Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar pada 30 Disember 2024 lalu. Kali ini, dengan semangat hijrah baharu, acara diberi nilai tambah melalui pelancaran KEAW yang memberi fokus kepada sektor pertanian, penternakan, perikanan, industri kecil dan sederhana serta industri berat yang strategik.
Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Datin Dr. Hajjah Hartini Osman, Presiden Women Economic Forum ASEAN 2025; Dr. Hasan Hamzah, Pengasas Yayasan Pembangunan Buku Negara; Datuk Seri Fairuz Zainudin, Pengasas Idola Holding; Prof. Paduka Dr. Supyan Hussin, Pengerusi KOGAJAN; Datuk Shahrul Miza, CEO AliffPay; serta Mat Ella, Pengetua Maahad Tahfiz Istiqomatuddin, Sementa Klang. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Yayasan Naning termasuk Dato’ Paduka Mohamad Nazri Shah dan Dato’ Seri Nan Kayo Haji Mashuti bin Mat Soom.

Pengisian majlis menampilkan bacaan Al-Quran oleh seorang pelajar berusia 10 tahun yang telah berjaya menghafaz 10 juzuk dalam masa tiga bulan, persembahan qasidah, serta perkongsian daripada lima usahawan Muslim terpilih yang berkongsi tentang peluang perniagaan halal masa kini. Slot istimewa turut diselitkan untuk memberi kesedaran tentang bahaya skim penipuan kewangan yang semakin berleluasa.

Menurut Al-Fadhil Ustaz Zawawi, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai tapak pelaksanaan awal KEAW, antaranya di sekitar Klang dan di Bagan Datuk, Perak. Kawasan-kawasan ini telah pun tersedia dengan kemudahan asas, termasuk pusat ICT dan tanah pertanian yang ditawarkan secara sukarela oleh pemilik untuk dijadikan model ekonomi bersepadu.

Setakat ini, lebih 15 NGO dan konsortium telah menyertai gerakan ini dan jumlah itu dijangka melebihi 100 sebelum pelancaran rasmi penuh pada bulan Rabiul Awwal 1447H, sekitar Ogos 2025. Selain penglibatan tempatan, KEAW juga sedang memperluaskan jaringan kerjasama ke negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand, sebagai langkah permulaan ke arah penyatuan ekonomi Islam yang lebih global.

Majlis yang dilangsungkan bersempena Maal Hijrah ini dilihat sebagai titik tolak kebangkitan semula kekuatan umat Islam, bukan hanya dari aspek spiritual, tetapi juga ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat. Ia menzahirkan bahawa semangat hijrah bukan hanya sekadar memperingati sejarah, tetapi satu gerakan nyata ke arah masa depan yang lebih bermaruah dan berdaya saing.

Didalam Pelancaran Penuh ini  Turut diberi penekanan penting Adalah Penggunaan Aplikasi  Teknologi baru GrakChat  , Pengasasnya Tuan Zainy Husin berkata Ia adalah sebuah aplikasi teknologi terkini yang akan digunakan oleh seluruh Ahli Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide untuk berkomunikasi.  Dimana Ia boleh memasukkan 50,000 ahli dalam satu Group Chat, Jumlah kumpulan yang terbesar berbanding aplikasi chat yang lain dan ada pelbagai lagi kelebihan yang ada pada aplikasi GrakChat berbanding aplikasi lain . Ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya penggunaan. Aplikasi GrakChat ini amat popular di luar negara. Pastinya Tuan Zainy mahu melihat malaysia sebagai pengguna terbesar aplikasi Grakchat dalam komunikasi harian akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

DPDDM dan INSKEN seiring bergandingan dalam memperkasa usahawan berjaya.