Anwar arah kes siasatan telus dan terbuka kes kematian Zara Qairina
KUALA LUMPUR – Siasatan penuh, terbuka dan telus akan dijalankan berhubung kematian tragis remaja perempuan, Zara Qairina, di Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menekankan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa sebarang kompromi, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mana-mana individu yang terbabit.
Menurut beliau, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk melindungi pihak tertentu.
“Tidak kira siapa pun yang terbabit orang kenamaan atau orang biasa tiada tolak ansur. Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan,” tegasnya.
Namun begitu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempergunakan tragedi ini sebagai bahan politik atau alat untuk meraih simpati dan sokongan.
Katanya, adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengeksploitasi kesedihan keluarga mangsa demi kepentingan politik mana-mana pihak.
“Jangan bina istana di atas pusara. Menggunakan kesedihan keluarga untuk menyerang atau membina keuntungan politik adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi tujuan bedah siasat.
Langkah itu diambil susulan timbulnya syak wasangka dan sebagai memenuhi keperluan undang-undang bagi memastikan segala aspek siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Perdana Menteri menyifatkan tindakan itu sebagai penting dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara dan memberi jaminan bahawa tiada sebarang kebenaran akan disembunyikan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran MADANI akan terus memberi komitmen untuk menjunjung prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban sepenuhnya.
“Saya tegaskan sekali lagi ini Kerajaan MADANI. Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah.
“Pembunuh tetap pembunuh dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan,” katanya.
Kematian Zara Qairina yang berlaku baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, selain mendapat perhatian luas media dan orang ramai.
Arahan untuk menjalankan bedah siasat semula diharap dapat memberi penjelasan terhadap punca sebenar kejadian serta membawa keadilan kepada semua pihak yang terkesan.
Comments
Post a Comment