MGGA 2025: Palestin Menang Besar, Ti Lung Dirai, Asia Bersinar di Layar Global
Kuala Lumpur - All That’s Left of You, sebuah filem menyentuh dari Palestin, merangkul dua anugerah utama — Anugerah Filem Terbaik dan Anugerah Lakon Layar Terbaik — dalam Anugerah Golden Global Malaysia (MGGA) ke-8 yang berlangsung sempena Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-8 di ZEPP Kuala Lumpur.
Filem arahan Cherien Dabis itu mengisahkan pasangan Palestin yang berdepan keputusan sukar yang akan mengubah takdir keluarga mereka dalam keadaan pelarian dan konflik. Dengan pendekatan yang halus dan menyentuh perasaan, filem ini menemui keindahan serta harapan di tengah-tengah kesukaran hidup.
Menerusi kemenangan Lakon Layar Terbaik, All That’s Left of You diiktiraf kerana naratifnya yang mendalam dan beremosi. Karya ini menyeimbangkan latar politik dengan kisah peribadi dan kekeluargaan yang menyentuh hati.
Sebuah lagi filem dari Asia Barat, Red Path, turut menyerlah apabila memenangi Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Harapan Baharu menerusi pengarah dari Tunisia, Lotfi Achour. Dengan latar belakang dalam teater, beliau menggabungkan realisme dan puisi visual untuk menyampaikan kisah penyembuhan diri dan masa silam yang menghantui. Red Path menyelami tema trauma dan ingatan secara puitis, menyerlahkan sudut pandangnya yang unik dalam dunia sinema kontemporari.
Legenda filem Hong Kong, Ti Lung, 78, pula menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Anugerah ini merupakan penghargaan atas sumbangan besarnya terhadap sinema Asia selama berdekad-dekad. Dikenali menerusi peranannya dalam filem-filem wuxia klasik dan drama emosi, Ti Lung terus menjadi inspirasi kepada generasi pembikin filem dan penonton.
Pelakon dari Indonesia, Reza Rahadian, yang popular menerusi filem My Stupid Boss, menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang (Excellent Achievement) atas sumbangannya yang berterusan dalam memperkukuhkan sinema Nusantara.
Sementara itu, filem Isabelle Stachtchenko, Universal Language, memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik. Visualnya yang memukau menembusi sempadan budaya, menyampaikan emosi manusia sejagat dengan kejelasan dan keindahan yang luar biasa.
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dimenangi Park Mi-Hyeon menerusi filem Winter In Sokcho, manakala Han HaoLin dari China memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi My Friend and Delie, sebuah kisah remaja yang mengharukan. Lakonannya yang jujur dan tulus menambah kehangatan dan keaslian kepada filem tersebut.
Anugerah Pilihan Penonton pula dimenangi filem Island To Island arahan Lau Kek Huat.
Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diberikan kepada Mahmood Bakri Chatila atas persembahannya yang kuat dan menyentuh dalam To A Land Unknown, menggambarkan pergolakan dalaman seorang lelaki pelarian dengan penuh kelembutan dan kemanusiaan.
Presiden dan Pengasas MIFFest, Joanne Goh, menyatakan komitmen teguh festival itu untuk menjadi jambatan antara Malaysia dan dunia, dalam usaha memartabatkan karya sinema tempatan dan antarabangsa ke peringkat lebih tinggi.
“Tahun ini MIFFest mencecah usia 8 tahun, dan saya sangat teruja dengan pencapaian ini. Kami telah melancarkan lebih 65 filem di Singapura, dan kolaborasi kami bersama European Union serta Hong Kong Economic & Trade Office menjadikan festival ini semakin bertaraf antarabangsa,” katanya.
Joanne turut berkongsi bahawa pihak penganjur menerima lebih 700 penyertaan dari seluruh dunia, namun hanya 9 buah filem dipilih untuk bertanding dalam kategori utama.
“Daripada lebih 700 penyertaan, hanya 9 filem dipilih untuk bahagian pertandingan utama — semuanya daripada pengarah baharu. Ini bukti bahawa kami benar-benar memberi ruang kepada suara dan bakat generasi baru,” jelasnya.
Tambah beliau, proses pemilihan tahun ini amat kompetitif dan mencerminkan kepelbagaian budaya dan bahasa yang dibawa oleh filem dari serata dunia.
“Pemilihan tahun ini sangat kompetitif. Filem datang dari 48 negara, melibatkan 45 bahasa. Ia bukan sekadar pertandingan, tapi satu perayaan kepelbagaian sinema dunia,” ujar Joanne.
Untuk kategori pertandingan pula, kami menetapkan syarat bahawa filem mestilah daripada pengarah baharu. Filem arahan pengarah yang sudah terkenal seperti filem lakonan Michelle Yeoh, contohnya, tidak layak untuk kategori ini. Namun begitu, kami tetap menghargai penyertaan mereka dalam kategori khas atau tayangan istimewa.”
Menurut Joanne lagi,“Kerjasama di peringkat antarabangsa terus diperkukuhkan dengan menampilkan Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke-25 sebagai sebahagian daripada MIFFest 2025. Tahun ini, kami turut bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU). Ini bermakna ada 17 negara dari EU yang terbabit dalam acara anugerah ini.
“Saya juga bangga kerana tahun ini kami dapat bekerjasama dengan 10 negara Asia untuk segmen Asean On Screen, dan menayangkan 6 filem yang cukup mengagumkan. Segmen ini memperlihatkan bagaimana MIFFest telah berkembang menjadi nod penting dalam rangkaian sinema Asia Tenggara, menjalin perkongsian antara industri filem seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam dengan Malaysia sebagai tuan rumah strategik.
“Kami juga berbangga kerana juri kami terdiri daripada tokoh-tokoh hebat antarabangsa seperti Reza Rahadian dari Indonesia, Jennifer Yu dari Hong Kong, dan wakil Malaysia seperti Diana Danielle. Mereka datang dari jauh, seperti dari London dan Asia, semata-mata untuk bersama kami dalam festival kali ini.”
Berbeza dengan festival yang hanya bertumpu kepada tayangan filem, MIFFest memperluaskan peranannya dengan menjadi platform strategik untuk pembangunan industri, mempertemukan pencipta kandungan, pelabur, pembeli dan penonton antarabangsa dalam satu ruang bersama.
Beliau turut menegaskan bahawa matlamat utama MIFFest ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan sinema serantau, sambil memperkenalkan filem tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Saya percaya MIFFest kini dikenali di peringkat antarabangsa, dan lebih banyak negara akan menghantar penyertaan mereka pada masa hadapan. Misi saya adalah jelas — untuk membawa filem Malaysia ke pentas global, dan memperkenalkan sinema Malaysia ke mata dunia,” katanya lagi.
Dengan tema “Kisah Tanpa Batas, Sinema Tanpa Sempadan”, MIFFest tidak sekadar meraikan karya seni filem. Ia hadir sebagai pemangkin penting dalam pembangunan ekosistem filem yang mampan, satu jaringan kreatif yang melibatkan pembikin filem, pelabur, pengedar, penonton dan dasar awam.
Comments
Post a Comment