Pelaburan Korea RM1 Bilion Memperkukuh Industri Aeroangkasa Malaysia, Membuka Peluang Pekerjaan dan Meningkatkan Pendidikan Berkemahiran Tinggi
Shah Alam, 30 April 2025 – Malaysia bakal menerima pelaburan strategik bernilai RM1 bilion dari Korea Selatan yang dijangka memberi impak besar kepada industri aeroangkasa negara. Pelaburan ini diumumkan dalam satu majlis khas bersama Invest Selangor yang turut disertai oleh wakil daripada JM Advanced Technology Sdn Bhd, JM Corporation Korea Limited, dan TRA Corporation Limited, di mana mereka membincangkan potensi besar pelaburan ini.
Menurut En. Muhammad Nor Ali Abdullah dari Yayasan Kasih Tauhid, pelaburan ini bukan hanya akan memperkukuh teknologi negara tetapi juga membuka lebih daripada seribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia. "Kami berada di Invest Selangor untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pelaburan dari rakan-rakan Korea yang akan memperkasa industri aeroangkasa negara serta meningkatkan pemindahan teknologi tinggi," ujar Muhammad Nor Ali Abdullah.
![]() |
Muhammad Nor Ali Abdullah. |
JM Advanced Technology, yang berpusat di Tasik Gelugor, Pulau Pinang, merupakan rakan strategik tempatan bagi JM Corporation Korea. Delegasi pelaburan ini juga melibatkan TRA Corporation Limited, yang terlibat dalam pengeluaran komponen aeroangkasa. Dalam pertemuan ini, Ketua Pembangunan JM Corporation Korea, En. Jung Hyun Kwon, menyatakan bahawa pembangunan kilang pengeluaran komponen aerobridge dan pusat penyelidikan & pembangunan (R&D) di Malaysia adalah langkah besar. Usaha ini yang bermula sejak 2017 kini memasuki fasa pengembangan yang lebih besar.
“Kami ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi penerbangan untuk Asia. Jika pembangunan ini berjaya, kami akan membina pusat R&D dan pengeluaran yang dapat memenuhi permintaan dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand,” kata beliau.
Menurut perancangan, pada peringkat awal, antara 50 hingga 100 pekerja tempatan akan diambil bekerja. Pakar-pakar dari Korea akan terlibat dalam pemindahan teknologi dan latihan teknikal kepada rakyat Malaysia. Pelaburan ini turut melibatkan tokoh-tokoh penting industri seperti Muhammad Nor Ali Abdullah (Yayasan Kasih Tauhid), Raja Mohd Syazwan Raja Mohamad (JM Advanced Technology Sdn Bhd), Jung Hyun Kwon (Pemilik JM Corporation Korea Limited), dan Yeon Ho Kim (Pemilik TRA Corporation Limited).
Pelaburan ini selaras dengan matlamat Pelan Induk Aeroangkasa Malaysia untuk menjadikan negara sebagai hab utama eksport komponen penerbangan di Asia Tenggara dan Timur Tengah. Selain itu, ia juga dijangka memberi impak positif kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan modal insan tempatan.
“Kami amat mengalu-alukan pelaburan berimpak tinggi ini yang menunjukkan kesungguhan negara luar untuk berkongsi teknologi dan mencipta nilai jangka panjang bagi Malaysia,” tambah Muhammad Nor Ali Abdullah.
Dengan sokongan kerajaan, institusi pelaburan seperti Invest Selangor, serta pemain industri, pelaburan ini dijangka menjadi titik tolak kebangkitan Malaysia dalam sektor teknologi tinggi penerbangan antarabangsa.
Comments
Post a Comment