Saloma KL Hidupkan Semula Nama Biduanita, Tarik Generasi Baharu




Kuala Lumpur, 29 April 2025 – Legenda seni suara negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, kembali diangkat namanya menerusi penjenamaan semula restoran berkonsep budaya yang kini dikenali sebagai Saloma Kuala Lumpur. Walaupun premis ini pernah menggunakan beberapa nama sebelum ini, pihak pengurusan sepakat untuk mengekalkan nama Saloma sebagai simbol penghargaan terhadap sumbangan besar arwah dalam dunia seni dan budaya negara.



Menurut Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Datuk Che Umar, pemilihan semula nama ini bukan hanya soal komersial, tetapi satu usaha ikhlas untuk menghidupkan semula warisan seni dalam bentuk yang dekat dengan masyarakat moden. Tambah menarik, waris kepada Allahyarhamah termasuk cucunya, Encik Arzanee Armalie, Rozaidie Armalie dan ibu tiri kepada ibunya turut dihubungi dan diberi sumbangan tahunan sebagai tanda penghargaan — meskipun tanpa sebarang syarat mahupun komitmen bertulis.




“Ini hasrat kami untuk berkongsi rezeki dengan waris. Tiada paksaan, tiada syarat. Jumlah pun kami rahsiakan sebab ia lahir dari keikhlasan,” jelas Datin Riza.


Walaupun tiada program rasmi atau pameran khusus mengenai Saloma di restoran ini, elemen nostalgia tetap disuntik dalam suasana dalaman, menu, serta perancangan barangan cenderamata (merchandise) — tanpa menampilkan wajah arwah secara jelas bagi menghormati sensitiviti agama. Pihak pengurusan turut mendapatkan nasihat mufti sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan imej dan karya arwah.


Apa yang lebih membanggakan, Saloma KL kini menjadi lokasi tumpuan anak muda, khususnya generasi Z. Dengan persembahan kebudayaan setiap malam, suasana santai dan muzik klasik yang dimainkan, restoran ini berjaya menghubungkan semula generasi baharu dengan warisan seni lama.


“Kita tak sangka nama Saloma boleh dekat semula dengan golongan remaja. Tapi mungkin kerana ambience, vibe, dan elemen budaya yang kami tampilkan, mereka rasa seronok dan kembali menghargai seni,” ujar Datin Riza lagi.


Walaupun bangunan asal restoran ini telah lama tidak digunakan dan memerlukan proses ubah suai besar-besaran yang menelan belanja jutaan ringgit, Saloma KL tetap berdiri megah hasil usaha pasukan dan rakan kongsi. Tanpa sebarang kempen pemasaran besar, restoran ini tetap popular hasil pengaruh media sosial dan sokongan daripada artis serta influencer yang menjadikan lokasi ini tempat lepak pilihan.


“ROI belum capai, tapi alhamdulillah, pelanggan tak putus. Terima kasih kepada semua yang menyokong,” tambah beliau.


Saloma Kuala Lumpur dibuka setiap hari dari jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam, dengan persembahan budaya bermula sekitar jam 8.00 malam, menjadikannya lokasi sesuai untuk makan malam sambil menikmati hiburan tradisional dalam suasana eksklusif dan santai.


Saloma Kuala Lumpur bukan sekadar restoran, tetapi satu pentas hidup yang menyambung legasi seni dalam nuansa moden — memartabatkan budaya sambil membuka ruang untuk generasi baharu mengenal sejarah dalam suasana yang santai dan segar.


Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

DPDDM dan INSKEN seiring bergandingan dalam memperkasa usahawan berjaya.

99 Wonderland Park beriadah sambil membeli belah bantu peniaga kecil sederhana