Inno Therapeutics Perkukuh Kerjasama Global, Pacu Inovasi Bioteknologi Tempatan
Petaling Jaya, 28 April 2025 — Inno Therapeutics, peneraju baharu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat, vaksin, dan terapi sel, melakar langkah penting hari ini menerusi majlis menandatangani dan pertukaran perjanjian strategik bersama rakan kerjasama tempatan dan antarabangsa.
Majlis yang berlangsung di M World Hotel itu mengukuhkan komitmen Inno Therapeutics untuk mempercepatkan inovasi sains, memajukan penyelidikan translasi, dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama dalam pembangunan biofarmaseutikal berteknologi tinggi.
Antara rakan strategik yang menandatangani perjanjian kerjasama dengan Inno Therapeutics adalah:
Universiti Malaya (UM)
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
Taiwan Bio Therapeutics
BioMab Inc.
Reyoung Bio Sdn Bhd
Kerjasama ini meliputi bidang penyelidikan berimpak tinggi seperti:
Terapi berasaskan sel stem dan eksosom Pembangunan vaksin dan pelaksanaan kajian klinikal
Sistem kultur sel lanjutan dan inovasi bioperubatan
Penyelidikan translasi untuk perubatan regeneratif dan onkologi
Pelaburan RM10 juta untuk inovasi produk estetik masa depan
Salah satu pengumuman utama pada majlis ini ialah kerjasama penyelidikan dan pembangunan antara Inno Therapeutics dan Reyoung Bio Sdn Bhd dengan pelaburan sehingga RM10 juta dalam tempoh lima tahun. Projek ini akan menumpukan kepada pembangunan produk estetik dan kosmetik berasaskan bioteknologi yang berpotensi menembusi pasaran global.
“Majlis hari ini bukan sekadar menandatangani perjanjian, tetapi lambang penyatuan visi, kekuatan bersama dan usaha kolektif ke arah penyelesaian kesihatan yang transformatif,” kata Dr. Evan Cheah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Inno Therapeutics. “Bersama rakan kerjasama, kami sedang membina masa depan yang didorong oleh kecemerlangan saintifik tanpa sempadan.”
Setiap institusi dan organisasi rakan kongsi yang hadir pada hari ini membawa kekuatan yang unik:
Universiti Malaya, dengan reputasinya sebagai universiti terbaik di Malaysia serta sejarah penyelidikan yang cemerlang, termasuk melalui Phytolab (IFMNATPROLAB), akan menyumbang kedalaman akademik dan ketelitian analisis yang penting dalam usaha sains dan piawaian penyelidikan kita bersama.
Komitmen UTAR terhadap inovasi bioteknologi dan kecemerlangan merentas disiplin akan menjadi aspek penting dalam inisiatif R&D bersama serta latihan pemimpin bioteknologi masa hadapan.
Kepakaran serantau UMS, khususnya dalam penyelidikan bioteknologi dan pengalaman bertahun-tahun yang berharga, membawa dimensi kepakaran tersendiri kepada projek penyelidikan kita.
Taiwan Bio Therapeutics membawa keupayaan bertaraf dunia dalam perubatan regeneratif dan imunoterapi — teknologi yang amat kita harapkan untuk dibangunkan bersama dan disesuaikan secara lokal demi impak yang lebih luas.
Platform BioMab akan menjadi asas dalam pembangunan dan pengujian biologi baharu.
Reyoung Bio, dengan komitmen kukuh terhadap pelaburan semula dalam R&D, memastikan penemuan kita bukan sahaja bersifat konseptual — malah boleh dihasilkan, diskalakan dan diakses secara meluas.
Inno Therapeutics merupakan syarikat di bawah program Bio-based Accelerator (BBA), satu inisiatif oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menyokong pembangunan industri bio berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En. Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kejayaan Inno Therapeutics membuktikan keupayaan program BBA dalam menjana impak sebenar kepada ekosistem bioteknologi negara.
“Inno Therapeutics ialah contoh cemerlang bagaimana kerjasama antara akademia dan industri dapat menghasilkan penyelesaian kesihatan yang sebenar. Bioeconomy Corporation akan terus menyokong pertumbuhan mereka dengan menyediakan fasilitasi dan akses pasaran yang relevan,” katanya.
Reyoung Bio: Menjana revolusi estetik berasaskan sains
Pengarah Reyoung Bio Sdn Bhd, Belle Lim berkata:
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen bersama kami dalam mendorong inovasi dan kecemerlangan dalam sektor kosmetik dan estetik. Dengan menggabungkan kepakaran kami dengan keupayaan penyelidikan Inno Therapeutics, kami percaya dapat mempercepat pembangunan produk yang menetapkan piawaian baharu dalam dunia kecantikan dan kesihatan.”
Malaysia ke arah hab bioteknologi bertaraf dunia
Kerjasama strategik ini merangkumi penyelidikan bersama, pemindahan teknologi, kajian klinikal dan pembangunan bakat—semuanya bertujuan untuk merancakkan inovasi tempatan dan memberi impak kepada kesihatan global.
Usaha ini menggambarkan misi Inno Therapeutics untuk menjadikan penyelidikan akademik dapat diterjemahkan kepada terapi yang memberi manfaat nyata kepada pesakit di seluruh dunia.
Comments
Post a Comment