VFive Group Perkukuh Inisiatif Kebajikan Ramadan dengan Majlis Iftar Perdana 2025

 


Kuala Lumpur, 14 Mac 2025 – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan tahun ini melalui pelbagai inisiatif kebajikan. Usaha ini diperkasakan oleh Yayasan VFive dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta institusi masjid, surau, madrasah tahfiz, dan organisasi lain di sekitar Lembah Klang.


Dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan, VFive Group telah mengagihkan 750 pek makanan berbuka puasa setiap hari, menyediakan sumbangan baju raya kepada anak-anak yatim, serta menjalankan program singgah sahur. Selain itu, tajaan menunaikan umrah di bulan Ramadan, edaran bubur lambuk, dan pelbagai bentuk bantuan kepada institusi pendidikan Islam turut diadakan. Inisiatif kebajikan ini tidak hanya tertumpu di Malaysia, malah turut disalurkan ke luar negara menerusi program infaq iftar di Masjidil Haram, Madinah dan Indonesia.





Majlis Iftar Perdana 2025: Ukhuwah dan Kesyukuran

Sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan Ramadan, VFive Group telah menganjurkan Majlis Iftar Perdana 2025 di Grand Barakah Hotel, Ampang. Majlis ini menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah antara warga kerja, pemegang taruh, serta golongan memerlukan seperti anak-anak yatim dan pelajar tahfiz.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Hj Mohd Syafiq Hj Abdullah, dalam ucapannya menegaskan kepentingan menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.


"Kehadiran Ramadan adalah peluang untuk kita meningkatkan ibadah dan menyemai nilai-nilai murni. Justeru, amat rugi jika kita tidak mengimarahkannya dengan amal kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Pada majlis tersebut, VFive Group turut menyampaikan Infaq Mahabbah Ramadan dalam bentuk sumbangan kepada masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, serta komuniti penghantar makanan.



Komitmen Berterusan untuk Kebajikan Masyarakat

VFive Group berpegang kepada prinsip bahawa tanggungjawab sosial bukan hanya bermusim tetapi perlu dilaksanakan secara berterusan. Seiring dengan visi syarikat sebagai organisasi Bumiputera yang prihatin, Datuk Hj Mohd Syafiq Abdullah menegaskan bahawa usaha kebajikan ini akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.





 "Insya-Allah, kami akan terus memperluaskan inisiatif kebajikan ini supaya lebih ramai komuniti dapat dibantu dan menikmati kehidupan yang lebih baik."

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyumbang kepada inisiatif kebajikan Yayasan VFive boleh melayari laman media sosial rasmi Yayasan VFive.

"Bersama Kita Mengimarahkan Ramadan dengan Kesyukuran dan Kebajikan."


Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

DPDDM dan INSKEN seiring bergandingan dalam memperkasa usahawan berjaya.

99 Wonderland Park beriadah sambil membeli belah bantu peniaga kecil sederhana