Program Nur Ramadan 2025: Cahaya Keimanan Menerangi Bandar Tun Razak
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2025 – Keberkatan Ramadan menyinari pagi yang penuh makna di perkarangan Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, apabila ratusan penduduk setempat berkumpul dalam semangat ukhwah dan keinsafan bersempena Program Nur Ramadan 2025.
Program yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) ini bertujuan menyemarakkan penghayatan bulan suci dalam kalangan masyarakat.
Program tahunan ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang dalam ucapannya mengajak umat Islam untuk memanfaatkan Ramadan sebagai ruang muhasabah dan peningkatan amal ibadah.
"Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi medan untuk memperkukuh kesabaran, memperbanyakkan ibadah, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa ganjaran bagi kesabaran adalah syurga. Justeru, marilah kita menjadikan Ramadan kali ini sebagai titik perubahan ke arah menjadi insan yang lebih baik," ujar beliau penuh semangat.
Sebagai tanda kasih sayang kepada masyarakat setempat, beliau turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada 300 penerima, mencerminkan nilai kebersamaan dan kepedulian dalam membantu golongan yang memerlukan.
Dalam nada penuh harapan, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah menyeru agar Ramadan dijadikan ruang untuk memperkukuh hubungan dengan Allah SWT menerusi puasa, solat tarawih, tadarus Al-Quran, dan qiamulail, di samping mempererat silaturahim sesama insan.
"Semoga Ramadan ini menjadi lembaran baharu buat kita semua, membimbing hati untuk terus istiqamah dalam kebaikan serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam komuniti," tambah beliau.
Majlis turut dihadiri oleh Datuk Azman bin Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tuan ACP Aidil Bolhassan, Ketua Polis Daerah Cheras, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan agensi berkaitan.
Acara yang berlangsung ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja mengeratkan ukhwah tetapi juga memperdalamkan penghayatan terhadap nilai-nilai Ramadan.
Dengan sambutan yang penuh kehangatan dan semangat keimanan, Program Nur Ramadan 2025 diharapkan dapat terus menjadi wadah tahunan dalam membentuk komuniti yang lebih bertakwa, bersatu padu, dan sentiasa mengutamakan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Comments
Post a Comment