DPDDM Perkukuh Kerjasama Strategik untuk Pembangunan Pendidikan dan Pelaburan

 


Kuala Lumpur, 28 Februari 2025– Dewan Perniagaan Datuk Dato' Malaysia (DPDDM) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pendidikan dan pelaburan melalui inisiatif terkini yang diumumkan semalam.


Salah satu inisiatif utama adalah kerjasama antara DPDDM dan ReSkill, sebuah platform pembelajaran dalam talian yang menawarkan latihan kemahiran secara percuma kepada pelajar daripada golongan B40. 


Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dalam bidang teknologi maklumat, keusahawanan, dan inovasi digital, memastikan golongan kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam era pendigitalan.


Menurut Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal bin Hashmi, inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada belia B40 untuk meningkatkan daya saing mereka di pasaran kerja. 




"Kami berharap dengan adanya kerjasama ini, lebih ramai pelajar dan usahawan muda dapat memperoleh kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan industri," katanya.


Pelaburan ke Timor Leste

Dalam usaha memperluaskan jaringan perniagaan antarabangsa, DPDDM turut menjalinkan kerjasama dengan Timor Leste bagi menarik pelabur asing dan tempatan ke negara tersebut. 


Kerjasama ini dijangka dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara dengan membuka lebih banyak peluang dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, pertanian, tenaga hijau, dan keusahawanan.


DPDDM memainkan peranan sebagai jambatan antara pelabur Malaysia dan Timor Leste, memudahkan proses perniagaan dan pelaburan dengan bantuan kerajaan tempatan serta rakan strategik di negara tersebut. Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mempercepatkan pembangunan ekonomi di Timor Leste.


Menurut Datuk Nor Hasnal, "Timor Leste mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi, terutama dalam sektor pertanian dan tenaga boleh diperbaharui. 


" Kami ingin memastikan ahli-ahli DPDDM dapat meneroka peluang ini dengan lebih mudah melalui rangkaian dan sokongan strategik yang kami sediakan."






Anugerah dan Penghormatan kepada Tokoh Industri

Majlis ini turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Antaranya ialah pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz dan artis veteran A.R. Badul, yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri seni dan keusahawanan.


Selain itu, Syed Mohd Yusof Wafa, yang mewakili golongan wartawan, menerima anugerah Wartawan Tinta Emas sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam dunia kewartawanan.




Presiden DPDDM menyatakan bahawa selepas pandemik, ramai yang masih terkesan dari segi ekonomi. "Selain mengeratkan hubungan sesama ahli, kami juga ingin membantu mereka untuk keluar dari kemelut ekonomi dengan sokongan kerajaan Madani," katanya.


Anugerah Usahawan Bintang Negara Madani

Sebagai sebahagian daripada inisiatif DPDDM, Anugerah Usahawan Bintang Negara Madani akan dianjurkan dalam masa terdekat. Datuk Aaron Aziz diumumkan sebagai salah seorang penerima anugerah ini, sebagai penghargaan atas kejayaannya dalam bidang seni dan perniagaan.


Sebelum ini, DPDDM telah menganjurkan Anugerah Usahawan Madani 2024, yang mengiktiraf 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai bidang. 

 

"Anugerah ini diberikan berdasarkan kapasiti dan pencapaian sepanjang tahun 2024. Ia juga bertujuan untuk mengangkat martabat artis dan usahawan agar mereka terus berjaya dalam bidang masing-masing," kata Nor Hasnal.





DPDDM juga menyasarkan untuk melahirkan 1,000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang, melalui pelbagai program latihan dan sokongan.


Antara selebriti yang pernah menerima Anugerah Usahawan Madani & Selebriti Negara sebelum ini termasuk Maya Karin, Datuk Ifa Raziah, Datuk N.D. Lala, Poey Sting, Keena Mentor, Halim Othman, Datuk Ayu Putih, Nazeera Sardi, Datuk Malek Reduan, Datin Ira Ghani, dan ramai lagi.


Projek Keusahawanan DPDDM

Dalam usaha memperkasakan usahawan tempatan, DPDDM bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn Bhd dalam beberapa projek strategik:


Projek Usahawan Vending Machines DPDDM – Melibatkan 1,000 usahawan termasuk ahli DPDDM dan golongan B40, dengan pembiayaan disediakan bagi membantu membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.


Projek Usahawan Agro Tani – DPDDM akan membuka peluang kepada ahli untuk menyertai latihan bersama INSKEN bagi mengusahakan tanaman Halia Bentong melalui kontrak pertanian.


Kawasan pertanian seluas 100 hektar, dikenali sebagai Halia City, akan diwujudkan.

Teknologi Internet of Things (IoT) akan digunakan bagi meningkatkan hasil tanaman dan memberi pulangan yang lebih lumayan kepada peserta.


"Projek ini adalah langkah strategik untuk menyahut seruan kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan dan membangunkan ekonomi usahawan tempatan," ujar Datuk Nor Hasnal, yang turut berharap Malaysia dapat dikenali sebagai pengeluar utama Halia Emas.


Dengan gabungan inisiatif pendidikan, pelaburan, dan program keusahawanan, DPDDM terus komited dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan memperkasakan ekonomi negara serta rantau Asia Tenggara.

Comments

Popular posts from this blog

GLOCAL TRAVEL & TOURS SDN. BHD LANTIK PU RIZ, USTAZAH ISFADIAH SEBAGAI IKON JEMAAH HAJI

Gema Selawat Hijrah 1447H: Pelancaran Kesatuan Ekonomi Asian Worldwide Diangkat ke Peringkat Serantau

DPDDM dan INSKEN seiring bergandingan dalam memperkasa usahawan berjaya.