111 tenaga pengajar TVET terima sijil profesional KNX
KUALA LUMPUR, 2 DISEMBER 2024 – Seramai 111 tenaga pengajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menerima sijil profesional KNX sempena Majlis Penganugerahan Pensijilan Profesional KNX-POLYCC yang diadakan di sini hari ini.
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi pernah direkodkan di peringkat antarabangsa sebagai tutor paling ramai ditauliahkan sijil profesional KNX dalam satu majlis sekali gus dicatatkan dalam Malaysia Book of Record.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dato' Dr. Mohd Zahari Ismail berkata inisiatif pensijilan profesional KNX-POLYCC itu merupakan satu langkah strategik dalam membina kapasiti tenaga mahir negara, khususnya dalam bidang automasi dan teknologi pintar.
"Ini adalah satu pencapaian yang besar di mana dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pembangunan Sumber Manusia serta pihak industri bergabung untuk mengadakan program kerjasama ini bagi memperkasakan TVET negara,"
"Ia bukan sahaja bertujuan untuk memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran,
tetapi juga bagi memastikan kurikulum, teknologi dan kemahiran yang disampaikan kepada
para pelajar adalah relevan serta selari dengan keperluan industri."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Profesional KNX-POLYCC yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia Sutekno Ahmad Belon, Pengarah Kanan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Mohd Fathullah Mustafa, Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Zainah Rujihan, Ketua Pegawai Eksekutif Seikou Systec Sdn. Bhd. Ts. Siew Peng Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif KNX Belgium Heinz Lux.
Program Pensijilan Profesional KNX-POLYCC dalam bidang Pemasangan Sistem Automasi Bangunan ini dilaksanakan secara berfasa bermula 2 Mei 2024 hingga 27 Julai 2024 melibatkan penyertaan tenaga pengajar politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan swasta, Kolej Vokasional, Institut Kemahiran Mara serta industri.
Dalam majlis yang sama Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut menerima sijil KNX Certified Training Centre dan enam kit mudah alih KNX.
Comments
Post a Comment